SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS5 | Kuala Lumpur City FC 1-0 Selangor FC | Saat Untuk Refleksi

Jul 15, 2024 - FAS

Pahit untuk ditelan. Itulah reaksi skuad Selangor FC yang terpaksa akur dengan keputusan di Stadium Bola Sepak, Kuala Lumpur selepas tewas tipis 0-1 kepada seteru setempat, Kuala Lumpur City (KLC) dalam perlawanan ke-5 saingan Liga Super 2024/25, semalam.

Menurut Nidzam Jamil, Ketua Jurulatih Selangor FC, banyak iktibar yang boleh diambil daripada perlawanan ini, “Bila kita kalah, banyak benda yang kita akan fikirkan terutamanya perkara-perkara yang kita perlu perbaiki. Salah satunya adalah kesilapan dan perkara-perkara kecil yang perlu dititik beratkan. Ini yang membezakan perlawanan semalam. Bila perlawanan Derbi ini sudah semestinya luka lebih mendalam. Saya ambil pengajaran daripada perlawanan ini untuk merenung semula bersama pemain-pemain,” jelas Nidzam Jamil.

Melakukan beberapa pertukaran di kesebelasan utama, Selangor bermula garang dalam cubaan mengasak kubu pihak lawan namun barisan pertahanan pasukan ‘The City Boys’ kekal ampuh menyerap asakan dari Gergasi Merah. Dalam usaha untuk mencari jaringan di babak kedua, benteng pertahanan Selangor dihukum selepas pemain sayap Kuala Lumpur, Jovan Motika, muncul selaku penjaring tunggal pada minit ke-63 perlawanan yang menyebabkan skuad Gergasi Merah berputih mata. Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

Walau bagaimanapun, menurut statistik perlawanan #KLCSFC, Gergasi Merah berjaya menguasai perlawanan dengan 63% penguasaan bola, 85% ketepatan hantaran dan 13 kali percubaan biarpun keputusan tidak memihak kepada pasukan.

Pihak pengurusan Selangor FC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong yang bersama-sama ke Stadium Bola Sepak, Kuala Lumpur semalam bagi memberi sokongan kepada pasukan sehingga tamat perlawanan. Kami hargai tenaga dan semangat yang dipamerkan sepanjang perlawanan berlangsung biarpun berakhir dengan keputusan yang tidak diingini.

Kami yakin pasukan akan bangkit semula daripada kekalahan ini. Barisan jurulatih dan para pemain akan teruskan perjuangan dengan menimbang balik semula apa yang terjadi dalam perlawanan ini. Seterusnya, skuad Gergasi Merah akan terbang ke Kuala Terengganu bagi aksi Separuh Akhir Piala FA pertama di tempat lawan pada hari Jumaat (19 Julai) ini.

Demi Kebanggaan!